IPOH, 04 Mei 2016 - Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, YABhg. Tan Sri Dato' Dr Wan Mohd Zahid Bin Mohd Noordin telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Van Wakaf kepada Sekolah Agama Rakyat Orang Asli,Kg Kenang Sg.Siput di Kompleks Islam Darul Ridzuan Ipoh. Van tersebut adalah sumbangan dari dana Waqaf Perak Ar-Ridzuan MAIPk yang telah dilancarkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 07 April 2016 yang lalu.

Sekolah Agama Rakyat Orang Asli Kg.Kenang yang memulakan operasinya pada tahun 1994 merupakan satu-satunya sekolah agama rakyat yang dikhususkan kepada orang asli dan dibiayai sepenuhnya oleh MAIPk. Sekolah ini ditadbir oleh Bahagian Dakwah,Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) manakala para guru dilantik oleh MAIPk. Setiap tahun MAIPk memperuntukkan hampir RM1 juta bagi membiayai kos operasi dan pembelajaran pelajar-pelajar. Pada tahun 2016,kerja-kerja membina 1 blok bangunan 3 tingkat, surau dan beberapa lagi kemudahan lain dengan jumlah keseluruhan kos pembinaan melebihi RM4 juta.