IPOH, 16 Oktober 2016 (Ahad) – Seramai 43 orang Mubaligh dan penggerak Negeri Perak telah menyertai Kursus Latihan Tenaga Pengajar Ilmu Al-Quran dengan menggunakan kaedah Abahata Al-Jabari. Program ini merupakan salah satu daripada projek Waqaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR) yang telah dilancarkan pada 7 April 2016. Kursus tersebut telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 15  sehingga 16 Oktober 2016 di Institut Latihan Pegawai Awam (ILPA),Ipoh.

Program perintis ini telah dijayakan bersama-sama di antara Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Institut Pengajian Al-Quran (IPAQ) serta Jabatan Agama Islam Perak(JAIPK). Melalui program ini, para mubaligh yang telah menjalani kursus akan  dihantar untuk membantu saudara baru dan orang asli Islam membaca Al-Quran dengan menggunakan kaedah pembelajaran Al-Quran yang pantas dan mudah. Kaedah ini bermatlamat membasmi masalah buta huruf Al-Quran dan pemantapan asas bacaan Al-Quran.

Kursus yang berlangsung selama 2 hari ini,telah diisi dengan pengisian-pengisian yang menarik dan tersusun. Antaranya pengenalan kaedah membaca al-Quran Abahata,slot Tahsinul Qiraat yang dikendalikan oleh Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa serta slot ‘micro teaching’.

Wakaf Pembangunan dan Perkembangan Ilmu Al-Quran adalah satu inisiatif pihak MAIPk untuk menyebar luas ilmu Al-Quran dalam kehidupan ummah melalui pembelajaran, pengajian, pemahaman, penghayatan dan pengaplikasian ilmu Al-Quran tanpa mengira sempadan usia serta taraf kehidupan.   

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ybhg. Dr Amiruddin bin Muhamed,Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk.Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa IPAQ Dr. Tajuddin Jali,pegawai-pegawai MAIPK DAN JAIPK.