Batu Kurau, 23 Mac 2017 (Khamis) – Pengurus Besar Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Mal dan Wakaf MAIPk, Suhaimi bin Yusoff telah menyempurnakan Majlis Penutup Program Baca-Tulis-Quran (BTQ) Muallaf Negeri Perak dengan menggunakan kaedah Abahata Al-Jabari di Pusat Motivasi Mawaddah, Batu Kurau. Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam pada 20 sehingga 23 Mac 2017 telah disertai oleh pelajar dan golongan dewasa di kalangan asnaf muallaf seramai 40 orang dari Taiping,Parit Buntar, Bagan Serai, Ipoh dan Manjung. Ini merupakan program kali ke-3 yang telah berjaya dilaksanakan di bawah projek Wakaf Pembangunan dan Perkembangan Ilmu al-Quran Waqaf Perak Ar-Ridzuan semenjak ia dilancarkan pada 7 April 2016.


Program perintis ini telah dijayakan bersama-sama di antara Majlis Agama Islam dan Adat ’ Melayu Perak (MAIPk), Institut Pengajian Al-Quran (IPAQ) dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK). Program ini telah dipenuhi dengan pengisian yang menarik dan tersusun melalui kaedah pembelajaran al-Quran secara mudah, cepat, efisyen dan menyenangkan bagi golongan sasaran yang terdiri daripada kalangan muallaf yang bertujuan bagi membantu mereka membaca al-quran dengan baik.


Terdapat sebahagian daripada peserta yang menyertai program ini pada mulanya lansung tidak mengenali huruf al-Quran. Setelah mengikuti kelas ABAHATA selama 30 jam dengan menggunakan teknik pembelajaran secara berkesan yang dipimpin oleh guru al-Quran yang berpengalaman mereka boleh mengenali huruf-huruf dan mula mampu membaca al-Quran. Pencapaian yang ditunjukkan oleh para peserta diharapkan mampu menjadi batu loncatan untuk mereka terus berusaha dengan lebih gigih dalam mempelajari ilmu al-Quran.


Wakaf Pembangunan dan Perkembangan Ilmu Al-Quran adalah satu inisiatif pihak MAIPk untuk menyebar luas ilmu Al-Quran dalam kehidupan ummah melalui pembelajaran, pengajian, pemahaman, penghayatan dan pengaplikasian ilmu Al-Quran tanpa mengira sempadan usia serta taraf kehidupan. Pihak MAIPk menyeru umat islam agar turut sama menyumbang untuk dana wakaf ini bagi manfaat berpanjangan dan berkekalan.